Newsroom
23 Nov 2019
Utusan Borneo Online : Sibu Jaya berpotensi hab kedua Sibu selepas siapnya projek pan borneo, jalan pesisir pantai
 
Sibu Jaya berpotensi hab kedua Sibu selepas siapnya projek pan borneo, jalan pesisir pantai


Abang Johari (kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibujaya, hari ini

SIBU: Sibu Jaya akan merubah landskap Sibu serta mampu menjadi hub kepada kawasan wilayah tengah setelah siapnya projek Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Persisir Pantai pada 2025.

Ini kerana, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sibu Jaya terletak di tengah-tengah dan menjadi laluan atau tempat persinggahan kepada kedua-dua jalan tersebut.

"Projek Pan Borneo, Jalan Persisir Pantai dan begitu juga projek-projek jambatan kita, ia boleh siap pada lima tahun lagi. Ini akan terus melalui Sibu amnya Sibu Jaya sebagai hub yang baharu bagi Sibu.

"Waktu sekarang, dua projek tersebut sedang dilaksanakan dan bila siap kelak banyak perkara yang boleh kita buat di Sibu Jaya bagi manfaat kepada penduduk setempat," katanya berucap ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, hari ini.


Model pelan replika Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim

Hadir sama ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee, Pengerusi Kumpulan Amcorp Tan Sri Azman Hashim yang juga penderma pusat sukan tersebut serta tetamu jemputan yang lain.

Abang Johari memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membangunkan Sibu Jaya kerana ia berpotensi besar dalam menjadi hub kedua kepada Sibu lebih-lebih lagi ia dekat dengan Lapangan Terbang Sibu.

"Kerancakkan ini akan berterusan lagi dengan Sibu Jaya bertambah dekat lagi apabila projek Jalan Sibu Jaya-Lanang siap 2021.

"Sarikei, Bintangor, Julau, Kanowit, Song, Kapit dan sebagainya pasti akan melalui Sibujaya untuk ke bandar Sibu," katanya lagi.

Sementara itu, Abang Johari menyifatkan penduduk Sibu Jaya sangat bertuah kerana disumbangkan Pusat Komuniti Sukan Azman Hashim oleh Azman sendiri.

"Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azman yang bermurah hati menyumbangkan pusat sukan ini kepada penduduk Sibu Jaya. Pusat Komuniti Sukan Azman Hashim ini akan dilengkapi dengan perkakas termoden dengan kemudahan pelbagai sukan," ujarnya.

Beliau percaya, penduduk Sibu Jaya akan dapat menikmati manfaat dari pusat tersebut dari segi riadah dan kesihatan.

Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim dijangka siap pada 2021 dan merupakan satu rekabentuk moden, pelbagai fungsi kegunaan dan lengkap sepenuhnya.

Ia menempatkan padang bola sepak, dan dilengkapi dengan trek lapan lorong beserta tempat duduk berbumbung yang selesa untuk para penonton dan treknya akan diperbuat menggunakan sistem 'Tracking Rubberized HERCULAN Certified IAAF' di tapaknya.

Ia telah disahkan dan sesuai untuk penganjuran acara serantau hingga ke pertandingan tahap ASEAN dan antarabangsa.

Selain daripada itu, pusat sukan ini juga mempunyai stadium tertutup pelbagai guna yang mampu digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan seperti bola keranjang, futsal, bola tampar, badminton dan gimnastik.

Terdapat juga bilik menukar pakaian yang dilengkapi dengan bilik air dan bilik mandi serta ruangan kedai terbuka yang menyediakan keperluan dan barangan sukan.