Newsroom
10 Feb 2020
BERNAMA : Persatuan Sahabat Penjara Malaysia bantu banduan cari kerja
 
Persatuan Sahabat Penjara Malaysia bantu banduan cari kerja


Presiden Persatuan Sahabat Penjara Malaysia Tan Sri Azman Hashim melihat perlawanan tarik tali daripada peserta penghuni penjara pada Program Karnival Sukan dan Kebudayaan Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2020 di Penjara Kajang hari ini.

KAJANG, 10 Feb -- Persatuan Sahabat Penjara Malaysia akan memainkan peranannya dalam memastikan banduan mendapat pekerjaan untuk memulakan hidup baharu sebaik mereka dibebaskan kelak kata Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim.

"Latihan dan kemahiran yang diberikan kepada penghuni (banduan) bukan saja ketika berada di dalam penjara, tetapi juga sebaik mereka dibebaskan bagi membolehkan golongan ini mendapatkan pekerjaan di luar sana.

“Antara inisiatif yang diberikan adalah bantuan mikro kredit dengan jumlah kira-kira RM5,000 sebagai insentif permulaan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan dan Kebudayaan Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2020, di Penjara Kajang di sini, hari ini.

Azman berkata selain mencari peluang pekerjaan kepada banduan, program pemulihan turut menjadi fokus utama persatuannya bagi memastikan kumpulan ini benar-benar bersedia untuk memulakan hidup baharu.

"Kami (persatuan) mahu menjadi sebahagian daripada usaha supaya penghuni menjadi lebih yakin dan mampu mengendalikan kekurangan serta kelebihan diri.

"Proses pemulihan banduan adalah penting bagi memastikan mereka dapat kembali semula ke pangkuan masyarakat sebaik dibebaskan atau apabila terbabit dengan program reintegrasi di bawah program pemasyarakatan Jabatan Penjara Malaysia," katanya.

Dalam karnival empat hari yang julung kali diadakan itu, seramai 482 banduan dari 26 penjara di seluruh negara telah mengambil bahagian dengan 16 acara dipertandingkan dengan Penjara Kajang merangkul gelaran Johan diikuti Penjara Bentong sebagai Naib Johan dan Penjara Kluang di tempat ketiga.

-- BERNAMA