Newsroom
30 Nov 2020
Berita Harian Online : Untung bersih 6 bulan AmBank Group RM602.5 juta
 
Untung bersih 6 bulan AmBank Group RM602.5 juta
 
Oleh Mohd Zaky Zainuddin - zaky@bh.com.my
 AmBank Group meraih keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) RM602.5 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2021 - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) meraih keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) RM602.5 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2021 berakhir 30 September 2020, susut 15.3 peratus berbanding RM711 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Kejatuhan PATMI yang dicatatkan AmBank Group diheret oleh pendapatan operasi lebih rendah kepada RM4.35 bilion dari RM4.73 bilion sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan diraih AmBank Group dalam tempoh dikaji melonjak 5.3 peratus kepada RM2.25 bilion, berbanding RM2.13 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi kekal mampan itu disokong oleh perolehan pendapatan pelaburan dan perdagangan lebih tinggi bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2021.

Bagi tempoh dikaji, perbelanjaan AmBank Group kekal stabil kepada RM1.06 bilion dengan nisbah kos kepada pendapatan (CTI) lebih baik kepada 47.3 peratus berbanding 49.4 peratus tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata prestasi kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan sebelum peruntukan masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 9.8 peratus kepada RM1.19 bilion.

"Melihat kepada persekitaran ekonomi yang tidak menentu dalam tempoh terdekat disebabkan ledakan kes COVID-19, pemuliharaan modal dan kecairan adalah perkara penting dalam memastikan ketahanan kewangan kumpulan.

"Sehubungan itu, kumpulan menangguhkan dividen interimnya untuk tempoh enam bulan pertama berakhir 30 September 2020 sebagai langkah tambahan dan berhati-hati sementara menilai ketidaktentuan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media prestasi kewangan AmBank Group secara maya, hari ini.

Yang turut serta ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AmBank Group, Jamie Ling dan Ketua Hubungan Pelabur AmBank Group, Chelsea Cheng.

AmBank Group mencatatkan pertumbuhan pinjaman lebih baik kepada RM110.6 bilion dalam tempoh dikaji, menokok tiga peratus berbanding RM107.2 bilion disokong perbankan perniagaan dan runcit.

Selain itu, kumpulan perbankan itu turut mencatatkan deposit lebih tinggi kepada RM114.8 bilion, tumbuh dua peratus daripada RM113 bilion bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2020.

Menuju ke hadapan, Sulaiman berkata, AmBank Group menjangkakan pertumbuhan pinjaman berlegar sekitar empat dan lima peratus bagi tempoh setahun penuh berakhir 31 Mac 2021.

Katanya, jangkaan itu selaras dengan pertumbuhan sektor perbankan tetapi lebih tinggi berdasarkan pemulihan dalam portfolio pinjaman dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Bagi tempoh setahun penuh, pertumbuhan pinjaman sekitar purata pertumbuhan industri iaitu antara empat hingga lima peratus," katanya.