Newsroom
17 Mar 2021
Berita Harian : RCEP buka peluang baharu kerjasama ASEAN-Jepun
 
RCEP buka peluang baharu kerjasama ASEAN-Jepun

Mahanum Abdul Aziz - Mac 17, 2021 @ 3:41pm
 (Gambar fail) Tan Sri Azman Hashim. - Foto: NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
 
KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membuka peluang baharu kepada kerjasama yang lebih utuh antara ASEAN dan Jepun menuju ke depan.

Pengerusi Mesyuarat Perniagaan ASEAN-Jepun (AJBM) ke-46, Tan Sri Azman Hashim, berkata ASEAN adalah elemen teras dalam RCEP, sekali gus membuka peluang dan kemungkinan kerjasama baharu membabitkan isu semasa seperti menangani impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi, bekalan makanan dan keselamatan makanan serta rantaian bekalan.

Beliau berkata, pada tahun lalu menjadi tahun paling mencabar dan tidak pernah dihadapi sebelum ini oleh kerajaan dan perniagaan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Katanya, bagi tahun ini, meskipun pemulihan ekonomi global masih dijangka tidak menentu, namun ia berada dalam landasan dengan harapan daripada pelaksanaan program vaksin COVID-19 secara besar-besaran di seluruh dunia.

"Sektor swasta berharap ratifikasi RCEP dibuat secepat mungkin oleh kerajaan yang menandatanganinya supaya ia boleh dilaksanakan.

"Pandemik COVID-19 membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk hubungan antara ASEAN dan Jepun diperkukuhkan menerusi kerjasama yang lebih besar untuk manfaat secara bersama," katanya pada pembukaan persidangan secara maya AJBM ke-46 hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, berkata negara anggota ASEAN masih bertahan dengan utuh meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan penularan COVID-19.

Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan negara anggota kerjasama serantau itu dengan kekal membuka pasaran telah mengurangkan kesan penularan pandemik di rantau itu.

"Melangkah ke depan, kerjasama swasta diperlukan untuk menyokong perniagaan secara berterusan dengan memaksimumkan aktiviti rentas sempadan yang produktif menerusi model perniagaan yang cergas dan fleksibel serta mengambil kesempatan penempatan semula rantaian bekalan ke ASEAN.

"Kita juga memerlukan komuniti perniagaan untuk membantu rantaian bekalan dengan memanfaatkan teknologi digital dengan melabur dalam platform e-dagang bagi membolehkan pergerakan pantas barangan rentas sempadan untuk pemulihan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.