Corporate Social Responsibilities
24 Sep 2016
Utusan Malaysia : Sultan Nazrin rasmi Bangunan Azman Hashim
 
Sultan Nazrin rasmi Bangunan Azman Hashim
SITI ROHAIZAH ZAINAL  |  24 September 2016 12:38 AM

pic1
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak sempena perasmian Bangunan Azman Hashim di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya semalam.Turut kelihatan, Azman Hashim (kanan), Prof. Dr. Mohd Amin Jalaludin (dua kanan) dan Arshad Ayub (kiri). UTUSAN/Faisol Mustafa 

KUALA LUMPUR 23 Sept - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Bangunan Azman Hashim di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Bangunan Azman Hashim setinggi lima tingkat yang menelan belanja RM25 juta itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Azman Hashim.

Bangunan tersebut mula dibina pada November 2013 mampu menampung seramai 850 pelajar pascasiswazah daripada fakulti tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi AMMB Holdings Bhd. (AmBank), Tan Sri Azman Hashim; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Arshad Ayub; Naib Canselor UM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Amin Jalaludin dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Prof. Dr. Che Ruhana Isa.

Selain itu, hadir sama, Pro-Canselor universiti tersebut iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib; Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Toh Puan Dr.Aishah Ong.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan melawat bangunan dan melihat mural berkenaan penubuhan fakulti tersebut.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Azman menyatakan rasa syukur dapat menyediakan bangunan tersebut untuk digunakan kepada pelajar fakulti berkenaan.

“Selain menyediakan bangunan, kita juga menyediakan kepimpinan akademik dalam bidang perkhidmatan kewangan untuk menyampaikan pengetahuan dan berkongsi maklumat,” katanya.